top of page

Media dan Bunuh Diri

  • Kymberly
  • Sep 4, 2020
  • 4 min read

Updated: Sep 5, 2020

10 September diisytiharkan sebagai Hari Pencegahan Bunuh Diri sedunia. Ramai mungkin beranggapan bahawa kes bunuh diri jarang sekali berlaku. Tapi, tahukah anda? Menurut laporan data bunuh diri yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization, n.d.) mendapati anggaran 800,000 individu dilaporkan mati setiap tahun ekoran kes bunuh diri, bersamaan dengan kadar 1 kematian bunuh diri setiap 40 saat. Angka yang sungguh mengejutkan, bukan? Sesungguhnya, fenomena bunuh diri dilaporkan berlaku setiap hari dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor jantina, umur, bangsa, agama, masa dan tempat.


Fenomena bunuh diri bukan sahaja melibatkan mereka yang dilaporkan mati ekoran tindakan bunuh diri, tetapi juga merujuk kepada mereka yang terlibat dengan cubaan bunuh diri (attempt suicide) atau individu yang terfikir / merancang sama ada untuk mencederakan diri atau bunuh diri (suicidal ideation). Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala bunuh diri seperti faktor psikologi atau kesihatan mental. Walaubagaimanapun, bukan semua kes bunuh diri adalah disebabkan oleh penyakit mental, tetapi juga berlaku ekoran faktor persekitaran sosial, masalah perhubungan, masalah kewangan dan lain-lain. Kebanyakan kes bunuh diri berlaku apabila seseorang individu tidak mampu atau berupaya lagi untuk menangani tekanan hidup dan melihat kematian sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk mengakhiri kesengsaraan yang ditanggung. Persoalannya, bolehkah fenomena bunuh diri dicegah? Secara dasarnya, FENOMENA BUNUH DIRI BOLEH DICEGAH dengan kerjasama semua pihak. Antara pertikaian yang hangat dibicarakan adalah perkaitan media dan bunuh diri.


Tahukah anda? Bunuh diri adalah tindakan yang “berjangkit (contagious)?”. Apakah yang dimaksudkan dengan berjangkit? Satu kajian yang dilaksanakan oleh Gould dan Lake pada tahun 2013 bagi mengkaji kadar kejangkitan perilaku bunuh diri mendapati bahawa konsep bunuh diri boleh disebarkan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada individu lain menerusi perkongsian pemikiran, tingkah laku mahupun pemerhatian. Konsep teori pembelajaran sosial (social learning theory) digunakan untuk memberi penerangan bagaimana seseorang individu boleh terpengaruh dengan individu lain melalui pendekatan permodelan atau peniruan (modeling). Secara ringkasnya, pembelajaran adalah hasil interaksi dengan persekitaran, di mana individu belajar melalui apa yang diperhatikan.


Jika dilihat, liputan berkenaan kes bunuh diri kerap sekali dipaparkan di dada akhbar dan juga dilaporkan di laman media. Mengambil contoh, liputan kematian bintang terkemuka yang juga merupakan ahli komedian terkenal di US – Robin Williams pada tahun 2014 telah menggemparkan dunia. Liputan meluas berkaitan kematian penyanyi serta idola k-pop terkenal Korea – Sulli dan Goo Hara yang disahkan bunuh diri turut mencetuskan provokasi apabila minoriti peminat setia artis terbabit turut mengorak langkah ekstrem bunuh diri sejurus berita tersebut dilaporkan. Selain liputan akhbar, drama atau tayangan filem yang menyampaikan mesej tidak sihat menerusi paparan adegan ekstrem bunuh diri yang boleh mencetuskan perasaan atau pemikiran tidak sihat juga perlu dibendung. Tahukah anda? Drama popular US di saluran Netflix – 13 Reasons Why yang ditayangkan ulung kalinya pada Mac 2017 pernah mencetuskan kontroversi kerana didakwa menjadi punca peningkatan kes bunuh diri remaja berusia dalam lingkungan 10-17 tahun sebanyak 28.9 peratus, kira kira sebulan selepas drama tersebut ditayangkan (Bridge et al., 2020). Jika diteliti, tidak salah untuk memaparkan berita berlakunya kes bunuh diri mahupun menyelitkan adegan berkaitan dalam karya jika bertujuan untuk mewujudkan kesedaran berkaitan dalam kalangan masyarakat. Namun liputan yang keterlaluan memberi penekanan terperinci dari pealatan yang digunakan sehinggalah menggambarkan kaedah yang diambil oleh mangsa perlu dihindari. Gambaran secara menyeluruh bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat, bahkan kebarangkalian dijadikan sumber rujukan bagi individu yang telah lama menyimpan niat membunuh diri.


Meskipun perkembangan teknologi yang semakin pesat telah mendatangkan banyak faedah. Antaranya menjadikan komunikasi lebih mudah selain dapat menyampaikan maklumat secara pantas. Namun, pada masa yang sama turut mendatangkan impak negatif seperti fenomena buli siber yang semakin menjadi-jadi. Secara zahirnya, kecederaan mangsa buli secara fizikal dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi insiden buli siber dalam diam membawakan kesan terhadap tahap emosi dan kesihatan mental seseorang individu. Masih ingatkah anda dengan kes mangsa buli siber – Thivyaanayagi Rajendran, berumur 20 tahun yang dilaporkan bunuh diri pada bulan Mei yang lepas? Mangsa mengambil keputusan menamatkan riwayat hidup setelah tidak tahan dengan insiden buli siber yang menjadikan video yang dikongsikannya di media sosial TikTok bersama rakan sekerja bukan warganegara Malaysia. Netizen di laman sosial bertindak mengecam, mengejek dan mencemuh mangsa selain menularkan berita tidak sahih yang menuduh mangsa menjalinkan perhubungan dengan lelaki warganegara Bangladesh.


Selaras dengan perkembangan teknologi, perkongsian di media sosial semuanya terletak di hujung jari dengan hanya menekan butang suka (like) atau kongsi (share). Penularan video atau berita yang tidak sahih di laman sosial media dengan tujuan mengejek, memaki, menuduh, menjatuhkan reputasi orang lain atau apa-apa sahaja tindakan yang selari adalah jenayah SIBER BULI dan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Ingat, kita tidak perlu jadi “HERO VIRAL”. Jadikan apa yang dikongsikan atau ditularkan menjadi tanggungjawab bersama. Fikir dahulu sebelum berkongsi.


BERSAMA MENCEGAH BUNUH DIRI.

SAYANGI NYAWA, HIDUPKAN HARAPAN!



Rujukan:

  • Bridge, J. A., Greenhouse, J. B., Ruch, D., Stevens, J., Ackerman, J., Sheftall, A. H., Horowitz, L. M., Kelleher, K. J., & Campo, J. V. (2020). Association between the release of Netflix’s 13 Reasons Why and suicide rates in the United States: An interrupted times series analysis. Journal of the American Academy of Child and Adolescent Psychiatry, 15(2), 236-243. https://doi.org/10.1016/j.jaac.2019.04.020

  • Forum on Global Violence Prevention; Board on Global Health; Institute of Medicine; National Research Council. Contagion of Violence: Workshop Summary. Washington (DC): National Academies Press (US); 2013 Feb 6. II.4, THE CONTAGION OF SUICIDAL BEHAVIOR. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK207262/

  • World Health Organization. (n.d.). Mental Health Suicide Data. https://www.who.int/mental_health/prevention/suicide/suicideprehttps://www.who.int/me ntal_health/prevention/suicide/suicideprevent/en/vent/en/

Comments


Commenting on this post isn't available anymore. Contact the site owner for more info.

Subscribe Form

Thanks for submitting!

©2020 by KGB Factor. Proudly created with Wix.com

bottom of page